PUASA

RAJAH 1.1: BERBUKA PUASA



DEFINISI

BAHASA:Menahan diri
ISTILAH:Menahan diri daripada makan, minum, dan perkara-perkara yang membatalkan bermula dari terbit fajar sehingga terbenam matahari serta niat.


SEJARAH PENSYARIATAN PUASA:Tahun ke-2 Hijrah 


DALIL PENSYARIATAN PUASA:

Firman Allah Taala: 

Maksudnya : “Wahai orang-orang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu PUASA sebagaimana yang telah diwajibkan kepada umat yang terdahulu daripada kamu, moga- moga kamu bertaqwa”.

(Surah Al-Baqarah : 183)

DALIL PENSYARIATAN PUASA RAMADHAN:

Firman Allah Taala: 

Maksudnya: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan- keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan di antara benar dan salah. Oleh itu, sesiapa di antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan maka hendaklah ia berpuasa”. (Surah Al-Baqarah : 185)


HUKUM MENINGGALKAN PUASA PADA BULAN RAMADAN 

1. Sesiapa yang tidak berpuasa tanpa mengingkari kewajipannya,  dia menjadi fasiq. 
2. Pemerintah wajib memenjarakannya dan menghalangnya daripada makan dan minum pada waktu siang.

PERKARA PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA:

  1. Makan dan minum dengan sengaja
  2. Memasukkan sesuatu benda ke dalam rongga yang terbuka
  3. Muntah yang banyak (dengan sengaja)
  4. Menelan kahak atau hingus yang telah keluar dari rongganya
  5. Melakukan hubungan kelamin (antara suami isteri)
  6. Melakukan Istimna’ (mengeluarkan air mani)
  7. Keluar darah haid atau nifas
  8. Gila atau pitam sepanjang hari Ramadan
  9. Sengaja berniat untuk membatalkan puasa
  10. Murtad


SOALAN DAN JAWAPAN ISU SEMASA BERKAITAN PUASA:

1. KETIKA SEDANG BERSAHUR, AZAN SUBUH BERKUMANDANG. LALU DIA MENELAN BAKI MAKANAN ATAU MINUMAN YANG MASIH ADA DI DALAM MULUTNYA. ADAKAH BATAL PUASANYA?

Ya. Batal puasanya, dan dia wajib Imsak sepanjang hari tersebut, iaitu dia hendaklah meneruskan puasanya seperti biasa walaupun ianya telah batal. Kemudian dia hendaklah menggantikan puasanya itu. Sama juga dengan orang yang sedang melakukan hubungan kelamin antara suami dan isteri, tiba-tiba azan subuh berkumandang. Jika pasangan suami dan isteri itu tidak mengakhiri hubungan tersebut, maka batallah puasanya.
2.BOLEHKAH MENGOREK HIDUNG ATAU TELINGA KETIKA SEDANG  BERPUASA?
Harus mengorek hidung atau telinga kerana gatal, atau ingin membersihkannya. Para ulama’ dalam mazhab As-Syafie menghadkan harus mengorek hidung dan telinga tidak sampai pada had batin. Sekiranya mengorek hidung atau telinga dengan tanpa apa-apa tujuan atau keperluan, maka hukumnya adalah makruh.
3.BAGAIMANAKAH PULA HUKUM SESEORANG YANG BERPUASA TIDUR DI SEPANJANG HARI RAMADAN?
Tidur adalah perkara yang diharuskan oleh syarak melakukannya pada bila-bila masa yang dikehendaki. Namun, perbuatan tersebut menjadi makruh apabila seseorang yang berpuasa itu tidur di sepanjang hari Ramadan, kerana dia telah mensia-siakan peluang untuk mempertingkatkan beribadah di bulan Ramadan dengan ganjaran yang berlipat kali ganda.

1 Comments